Kini, dengan kemajuan dan cabaran ekonomi, didapati banyak keluarga di bandar besar seperti Kuala Lumpur mengamalkan hidup keluarga kembang – dalam satu rumah terdapat beberapa keluarga kecil kerana tidak mampu membeli rumah.

Miskin bandar ini juga mengalami tekanan hidup kerana bukan sahaja harga rumah melambung tinggi, kos kehidupan juga meningkat. Jika tinggal di kampung, sekurang-kurangnya boleh bercucuk tanam dan mencari ikan di laut atau sungai (jika sungai tidak dicemari) tetapi yang duduk di bandar terutama di rumah pangsa dan setinggan, mereka tiada tanah untuk bercucuk tanam.

Semuanya perlu dibeli dan jika tiada duit, maka keluarga tidak boleh makan. Setiap orang mahukan yang terbaik buat keluarganya.

Namun hari ini banyak kes mengenai keganasan berlaku dalam kalangan ahli keluarga. Terdapat beberapa kes melibatkan kematian seperti cucu membunuh nenek, anak membunuh ibu dan bapa menyembelih anak.

Isu dera anak oleh ibu, bapa, ibu tiri, bapa tiri, teman lelaki emak, saudara mara dan pengasuh anak juga sering dipaparkan dalam media. Semua kejadian ini amat menyedihkan.

KENAPA IA BERLAKU?

Ia menimbulkan rasa tanda tanya, kenapa ia berlaku? Bukankah rumah tangga itu sepatutnya menjadi syurga dunia bagi isteri, anak-anak dan warga emas?

Kementerian Kesihatan baru-baru ini menyatakan bahawa lebih 4 juta rakyat Malaysia mengalami sakit mental.

Gangguan bukan semestinya gila tetapi stres atau mengalami tekanan. Jumlah ini tinggi dan membimbangkan. Hari ini kita mendengar kes-kes cubaan bunuh diri, membunuh diri, membunuh ahli keluarga dan mendera anak-anak, wanita atau isteri dan warga emas.

Sebanyak 65 peratus daripada jumlah kes kejadian bunuh diri atau cubaan bunuh diri dalam kalangan penduduk tempatan atau warganegara asing di Malaysia melibatkan golongan lelaki. Sebanyak 130 kes direkodkan pada 2015, 84 kes membabitkan lelaki dan 46 adalah wanita.

Bagi kes penderaan kanak-kanak, statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan peningkatan kes penderaan kanak-kanak dari 2010 iaitu sebanyak 3,257 kes, 3,428 kes (2011), 3,831 kes (2012), dan 4,119 kes pada 2013, manakala dari Januari hingga April 2014 sahaja terdapat sebanyak 1,430 kes.

Ini adalah contoh menunjukkan bahawa “Rumahku Syurgaku” tidak dapat diwujudkan dalam sebuah rumah tangga. Di mana keluarga sakinah yang diimpikan? Sejak akhir-akhir ini banyak kes melibatkan ahli keluarga terdekat membunuh ahli keluarganya sendiri dan kebanyakan kes kerana tertuduh mengambil dadah atau mengalami gangguan mental.

KONSEP RUMAH TANGGA ISLAM

Sebuah rumah tangga Islam mestilah penuh kasih sayang dan saling sayang menyayangi. Firman Allah SWT:

“Dan sebahagian tanda-tanda kebesaran Allah, bahawa telah Dia jadikan jodoh untukmu daripada manusia sesamamu, supaya kamu berdiam padanya. Dan Dia jadikan antara kamu kasih sayang dan bersayang-sayangan. Sesungguhnya yang demikian itu menjadi tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang mahu berfikir.” (Surah ar-Rum:21)

Anas bin Malik r.a. ketika menggambarkan kasih sayang Rasulullah kepada anak-anak. Beliau mengatakan, “Tidak pernah saya melihat seorang yang lebih cinta kepada keluarganya lebih daripada Rasulullah.” – Riwayat Muslim.

Usamah bin Zaid r.a. bercerita, “Rasulullah pernah mendudukkan aku di satu pahanya dan mendudukkan Hasan di paha yang satu lagi. Kemudian baginda merangkul kami berdua sambil berdoa: “Ya Allah cintailah kedua-duanya, sungguh aku mencintai mereka berdua.” – Riwayat Bukhari.

Semua ini melambangkan kasih sayang Nabi SAW terhadap keluarganya terutama anak dan cucu-cucu baginda. Dalam sebuah rumah tangga bahagia, yang mengikut lunas-lunas agama, terjaga solat, puasa dan sumber rezekinya, mana mungkin seorang ahli keluarga mengalami kemurungan.

Namun hari ini ia tetap berlaku. Terapi terbaik dalam Islam ialah solat dan berzikir. Namun jika sering solat dan berzikir tanpa mencari rezeki untuk keluarga juga boleh menyebabkan stres.

Tidak memberi anak dan isteri makan dan minum yang mencukupi boleh menyebabkan mereka menjadi murung, sedih serta lapar. Ia mengganggu emosi mereka. Keseimbangan dalam menjalani hidup berkeluarga perlu dipelajari dan diamalkan supaya rumahku menjadi syurgaku.

Sebuah 
keluarga sakinah memastikan hak setiap ahlinya terjaga dan setiap pihak perlu menjalankan tanggungjawabnya. Janganlah kita menjadi manusia hipokrit yang sering bercakap mengenai kepentingan agama namun kita sendiri tidak menjaga agama terutama dalam keluarga.

Bersama Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, UKM serta Profesor 
Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, UKM & Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, (Yadim). Boleh dihubungi di naha61@gmail.com